Kebanyakan individu, terutamanya golongan lelaki, sering alpa dalam menjaga kebersihan alat kemaluan setelah tamat melakukan hubungan intim.
Mereka mungkin tidak sedar keadaan zakar akan lebih mudah terdedah kepada serangan virus dan bakteria setelah hubungan seksual berlangsung.
Berikut merupakan cara membersihkan zakar dengan tepat setelah melakukan hubungan intim bersama pasangan.
Kenapa zakar perlu dibersihkan setelah melakukan hubungan seks?
Zakar lelaki terdiri daripada dua jenis kulit iaitu kulit mukosa dan kulit keratin. Kulit mukosa tidak mempunyai lapisan kulit mati pada permukaannya, manakala kulit keratin pula memiliki lapisan pelindung pada bahagian permukaannya.
Kulit mukosa sangat sensitif dan mudah terluka. Apabila seseorang itu melakukan hubungan seks, kulit mukosa ini akan terdedah kepada cecair faraj yang bersifat asid dan berisiko menyebabkan kulit mengalami keradangan.
Begitu juga dengan aktiviti seks oral dan anal.
Najis yang terdapat pada bukaan dubur dan air liur daripada mulut juga boleh meningkatkan risiko berlakunya keradangan atau jangkitan pada zakar.
Oleh sebab itu, sangat penting untuk golongan lelaki menjaga kebersihan kemaluan mereka setelah tamat bersenggama dengan pasangan.
Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini seperti keradangan, jangkitan dan kemungkinan berlakunya penyakit jangkitan seksual (STD).
Menjaga kebersihan zakar mungkin kedengaran sebagai satu perkara yang mudah.
Namun, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.
Jika tersilap, zakar anda bukan hanya tidak terlindung daripada jangkitan, malah mungkin akan mendapat keradangan disebabkan oleh kaedah penjagaan yang kurang tepat.
Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dilakukan untuk membersihkan zakar setelah selesai melakukan hubungan seksual.
#1. Bersihkan dengan menggunakan air suam
Setelah selesai melakukan hubungan intim, anda perlu membersihkan zakar dengan secepat yang mungkin.
Menurut Dr. John Zampella, seperti yang dipetik daripada laman web Men’s Health, penggunaan air suam digalakkan untuk mencuci zakar.
Anda boleh menggunakan tuala yang direndam dalam air suam. Dr. Zampella juga menyarankan penggunaan sabun untuk membantu membunuh bakteria.
Pilih sabun yang tidak mengandungi pewarna atau sebarang bahan pewangi yang boleh menimbulkan keradangan pada zakar.
Bersihkan zakar anda dengan lembut, dan jangan sesekali menggosoknya dengan kuat atau kasar.
Pastikan bahagian yang sukar dicapai turut dibersihkan dengan menggunakan air dan sabun.
Sekiranya zakar anda tidak disunat dan bahagian hujung zakar ditutupi dengan kulit kulup zakar, anda boleh menarik kulit tersebut ke belakang secara perlahan-lahan agar bahagian dalam kulit tersebut dapat dicuci dengan baik.
#2. Keringkan dengan baik
Cara lain yang perlu dilakukan untuk membersihkan zakar setelah melakukan hubungan seks adalah dengan mengeringkan alat kemaluan setelah ia dicuci.
Sekiranya zakar masih dalam keadaan basah dan anda ingin tidur atau berasmara bersama pasangan anda, perkara ini adalah sangat berisiko.
Ini kerana zakar yang tidak dikeringkan dengan baik berpotensi menjadi tempat untuk bakteria membiak disebabkan oleh keadaannya yang lembap.
Oleh itu, keringkan zakar anda dengan menggunakan tuala atau tisu setelah selesai mencucinya.
Keringkan dengan cara hanya ditekap-tekap dengan menggunakan tuala, tidak perlu digosok atau disental dengan kasar.
Keradangan akan berlaku sekiranya anda mengelap zakar dengan menggunakan material tuala yang tidak lenbut atau menggosoknya dengan kasar.
#3. Pastikan anda membuang air kecil setelah selesai melakukan hubungan seks
Salah satu perkara yang sering diabaikan oleh kaum lelaki adalah tidak membuang air kecil setelah berjimak.
Jika anda membuang air kecil, ia dapat mencegah daripada berlakunya jangkitan pada saluran kencing atau disebut UTI.
Selain itu, ia juga membantu uretra yang berada di dalam zakar anda untuk kembali bersih.
Untuk memastikan agar proses membuang air kecil berjalan dengan lancar, sediakan segelas air kosong berdekatan tempat tidur anda.
Anda boleh meminumnya sebelum dan juga selepas melakukan hubungan seks.
#4. Gunakan losyen atau pelembap
Kaedah lain yang boleh dilakukan untuk membersihkan penis selepas bersetubuh adalah dengan menyapu losyen atau pelembap.
Dr. Zampella menyarankan agar anda menggunakan losyen atau pelembap pada zakar anda setelah ia dibersihkan.
Gunakan produk pelembap yang tidak mengandungi kandungan alkohol, bebas bahan pewangi dan tidak mengandungi bahan kimia yang terlalu kuat.
Cara menggunakannya adalah dengan mengambil sedikit pelembap dengan menggunakan hujung jari anda, kemudian sapukan pada kepala dan batang zakar anda. Elakkan daripada menyapu losyen pada lubang zakar anda.
Sumber maklumat utama : hellodoktor.com
No comments:
Post a Comment