Ramai lelaki tahu bahawa ereksi selepas bangun tidur adalah normal. Namun, adakah anda tahu apakah punca kepada fenomena tersebut?
Ada individu yang menganggap bahawa lelaki kebiasaannya berasa ghairah setelah bangun tidur namun perkara itu tidak selalunya benar.
Ereksi atau zakar menegang tersebut tiada kaitan dengan rangsangan seksual dan ia berlaku disebabkan oleh proses fisiologi normal.
Lelaki alami ereksi ketika tidur
Mungkin fakta ini mengejutkan bagi anda namun ia bukan perkara yang asing. Malah ia dialami oleh setiap lelaki yang mempunyai tahap kesihatan seksual yang sihat.
Menurut Pakar Perubatan Urologi di Los Angeles, Dr Adam Ramin, lelaki kebiasaannya akan mengalami ereksi sebanyak 3 hingga 5 kali ketika tidur.
Perkara ini tiada kaitan dengan rangsangan seksual dan mimpi basah sebaliknya merupakan tanda bahawa badan anda sedang berfungsi dengan baik.
Ereksi tersebut biasanya akan berlangsung selama 25 hingga 35 minit dan sering dikaitkan dengan kitaran tidur rapid eye movement (REM). Pada fasa tersebut, kita kebiasaannya mengalami mimpi.
Mungkin kedengaran mudah namun penerangannya tidak sebegitu. Ini berikutan model penerangan terhadap berlakunya fenomena ereksi ini lebih berkait rapat dengan proses parasimpatetik yang berlaku pada badan.
Bagaimana terjadinya ereksi?
Ereksi tidak berlaku disebabkan oleh rangsangan seksual semata-mata. Ia merupakan satu tindak balas kompleks yang disebabkan oleh sistem saraf dan sistem endokrin terhadap salur darah pada zakar.
Apabila seseorang itu mengalami rangsangan seksual, signal akan dihantar kepada otak.
Ia seterusnya akan bertindak balas dengan menghantar isyarat kimia kepada saraf yang mengawal aliran darah masuk ke dalam zakar.
Kesannya, lebih banyak darah akan mengalir masuk berbanding dengan darah yang mengalir keluar menyebabkan berlakunya ereksi.
Model yang sama juga boleh diaplikasikan kepada konsep ereksi yang tidak disebabkan oleh rangsangan seksual.
Lelaki mempunyai hormon yang boleh mempengaruhi tindak balas otak terhadap ereksi. Hormon tersebut adalah hormon testosteron.
Apa yang lebih menariknya, ada juga ereksi yang berlaku tanpa melibatkan otak. Ia merupakan tindakan yang tidak boleh dikawal dan isyaratnya berasal dari saraf tunjang.
Sebab itulah ada ereksi yang berlaku walaupun ketika tiada rangsangan seksual. Ia tidak boleh dikaitkan dengan satu punca semata-mata.
Sumber maklumat utama : hellodoktor.com
No comments:
Post a Comment